LENGGONG – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi universiti pertama yang secara rasmi membuka pusat kajian di kawasan Lenggong UNESCO Global Geopark, dalam langkah yang dilihat sebagai permulaan kepada usaha menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkembangan itu sejajar dengan status Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Perkara itu dimuktamadkan menerusi Majlis Penandatanganan Persefahaman (MoU) antara UTM dengan Badan Pengurusan Lenggong Geopark yang berlangsung pada 1 April 2026, jam 9.00 malam di Resort Tasik Raban, Lenggong.
Menurut Shamsul, langkah berkenaan bermula hasil perbincangan bersama Naib Canselor UTM yang kebetulan juga anak kelahiran kawasan Parlimen Lenggong.
Beliau merakamkan penghargaan kepada UTM kerana bersedia menjadi contoh dan universiti pertama dalam usaha menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka.
Shamsul turut memaklumkan bahawa pada hari yang sama, seramai wakil daripada 20 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dibawa melawat ke kawasan Lenggong Geopark bagi memberi pendedahan awal ke arah perancangan yang sedang dirangka.
Lawatan dan program itu, katanya, disusun bersama Majlis Pelancongan Lenggong dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark.












