SEREMBAN – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) berupaya kembali memimpin Negeri Sembilan sekiranya gerak kerja parti dilaksanakan secara berfokus, berstrategi serta berjaya meyakinkan rakyat.
Beliau berkata, parti perlu tampil dengan tawaran terbaik dan memberi keutamaan kepada perkara yang menjadi keperluan rakyat, di samping memastikan perpaduan dalam kalangan jentera dan kepimpinan diperkukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Gerak kerja kita mesti fokus dan berstrategi. Tawarkan yang terbaik dan berikan apa yang rakyat inginkan. Percayalah jika kita bersatu padu dan mampu yakinkan rakyat, UMNO BN mampu kembali memimpin Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sebagai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan bersama pimpinan UMNO Negeri Sembilan di semua peringkat, yang berlangsung pada jam 4 petang di Bangunan UMNO Negeri Sembilan.
Program berkenaan menghimpunkan kepimpinan parti negeri sebagai sebahagian daripada usaha penyelarasan gerak kerja dan pengukuhan kesiapsiagaan jentera menghadapi PRN.









