LENGGONG – Pesta Bakar Lemang di Tasik Sandarhulu, Kampung Luat terus menjadi tradisi tahunan yang dinanti-nantikan penduduk setempat menjelang Aidilfitri.
Lemang yang siap dimasak diagihkan kepada semua yang hadir, membolehkan masyarakat pelbagai lapisan menikmati keenakan lemang sambil menyambut kemeriahan Syawal. Kawasan sekitar pesta turut dihiasi panjut, menambah seri dan suasana malam raya di kampung itu.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, tradisi ini bukan sekadar membakar lemang, tetapi juga ruang untuk mengeratkan silaturahim dan berkongsi kegembiraan bersama komuniti. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas usaha menjayakan program ini.
Saarani berharap program seperti Pesta Bakar Lemang dapat terus dihidupkan dan menjadi pemangkin semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, sekali gus memelihara warisan tradisi yang menjadi identiti komuniti Kampung Luat.















