LENGGONG – Program Tradisi Duit Raya diteruskan di Sekolah Kebangsaan Lenggong, Lenggong semalam dengan penglibatan Datin Seri Hamisah Hussin, isteri kepada Ahli Parlimen Lenggong, Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Program yang bermula sekitar jam 11:50 pagi itu menyaksikan Hamisah menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar dan guru sekolah berkenaan sebagai sebahagian usaha menyemarakkan sambutan Aidilfitri serta memberi dorongan moral kepada warga sekolah di kawasan Parlimen Lenggong.
Bercakap kepada media selepas program, Hamisah berkata inisiatif ini adalah kesinambungan komitmen keluarga untuk memastikan tradisi pemberian duit raya terus dipelihara, selain memupuk semangat perpaduan dan kegembiraan dalam kalangan pelajar dan guru.
Hamisah turut mengambil peluang beramah mesra dengan pelajar dan guru, selain menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan kebajikan warga sekolah serta memastikan setiap sekolah di Parlimen Lenggong mendapat perhatian sewajarnya, khususnya dalam aspek kemudahan pembelajaran dan sokongan moral.
Program Tradisi Duit Raya ini dilihat sebagai antara usaha mendekati masyarakat setempat dan memperkukuh hubungan antara pemimpin serta generasi muda di Parlimen Lenggong.















