LENGGONG – Pertandingan masakan berasaskan labu menjadi antara tarikan utama Sambutan Hari Keluarga Bina Insan di Masjid Kampung Padang Jeri yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kekeluargaan.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi DUN Kenering, Cikgu Aida, berkata pertandingan itu memberi peluang kepada peserta mengetengahkan kreativiti dan kemahiran masing-masing dalam menyediakan hidangan.
Program dimulakan dengan senamrobik sebelum diteruskan dengan pelbagai acara sukaneka. Pertandingan batu seremban, karom dan dart turut mendapat sambutan meriah.
Namun, menurut Cikgu Aida, nilai utama sambutan itu bukan soal menang atau kalah, tetapi peluang untuk warga Bina Insan berkumpul, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim.
Beliau berkata aktiviti bersama yang disulami gelak tawa dan keceriaan membantu merapatkan hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin.
Cikgu Aida turut mengucapkan tahniah kepada penganjur dan semua yang menjayakan program itu, dengan harapan sambutan berkenaan menjadi kenangan manis buat seluruh keluarga Bina Insan.












