LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah meninjau kemajuan kerja-kerja menaiktaraf Kampung Budaya Lembah Lenggong bagi memastikan projek tersebut berjalan mengikut perancangan.
Ahli Parlimen Lenggong itu menegaskan projek naiktaraf ini penting dalam usaha memelihara serta mempromosikan warisan budaya masyarakat setempat kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kampung Budaya ini berperanan sebagai medium untuk mempamerkan cara hidup, adat resam serta keunikan budaya masyarakat Lembah Lenggong yang kaya dengan nilai sejarah,” katanya.
Beliau berkata, projek ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor pelancongan warisan di Lenggong, terutamanya selepas kawasan ini menerima pengiktirafan kedua UNESCO sebagai Global Geopark pada April 2026, selain statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia sejak 2012.
Projek naiktaraf ini dijangka mampu meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut serta memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat.












