TANGKAK – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, telah menghadiri Program Santai Bersama RELA dan Komuniti Daerah Tangkak pada hari Ahad sebagai usaha mendekatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan masyarakat setempat.
Turut hadir bersama Yang Berhormat Timbalan Menteri ialah Yang Berbahagia Tuan Syamsul Badrin bin Mohsin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RELA dalam program yang menjadi ruang untuk beramah mesra serta menghargai peranan anggota RELA dan komuniti dalam membantu memelihara keselamatan dan keharmonian setempat.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Timbalan Menteri turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun RELA Malaysia kepada seluruh warga RELA serta menzahirkan penghargaan atas jasa dan komitmen mereka dalam membantu menjaga keselamatan negara dan kesejahteraan komuniti.
Program santai seumpama ini mencerminkan pendekatan mesra yang berkesan dalam mengukuhkan hubungan antara agensi keselamatan di bawah KDN dengan masyarakat setempat, sekali gus membuktikan keprihatinan kepimpinan Kementerian terhadap peranan sukarelawan dalam menjaga keamanan negara.








