LENGGONG – Kanak-kanak Tabika dan Taska KEMAS Kampung Air Jada, Kenering mencuri perhatian apabila tampil penuh kreatif dalam Majlis Penutup Sambutan Hari Kemerdekaan yang berlangsung meriah di situ.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukaneka, pertandingan hiasan topi dan hiasan wau yang berjaya mencungkil bakat serta kreativiti peserta cilik tersebut.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Cikgu Aida yang merasmikan majlis itu berkata, aktiviti sebegini bukan sekadar menyemarakkan semangat patriotik, malah turut memupuk kerjasama, keyakinan diri dan semangat berkawan dalam kalangan kanak-kanak.
“Semoga semangat cintakan negara terus disemai sejak kecil dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada guru, pengurusan KEMAS serta ibu bapa yang bersama-sama menjayakan program tersebut.












