LENGGONG – Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Rohaida Mohamad Yaakub, mengadakan program Kunjung Kasih Keluarga DUN Kenering di Kampung Tanjung Kala bagi meninjau keadaan penduduk serta mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai keperluan setempat.
Menurut Rohaida, kunjungan itu membolehkan beliau bertemu penduduk kampung, bertanya khabar dan mendengar pandangan masyarakat mengenai isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, program seumpama itu menjadi ruang untuk merapatkan hubungan dengan rakyat, di samping memahami keperluan komuniti bagi memastikan tindakan susulan dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
Dalam program berkenaan, Rohaida turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan kepada penduduk yang terlibat.
Rohaida merakamkan penghargaan atas sambutan mesra penduduk Kampung Tanjung Kala dan berharap ukhuwah serta kebersamaan yang terjalin dapat terus diperkukuhkan.












