GERIK – Kawasan Gunung Pulut di Kampung Tawai, Gerik bakal menerima projek menaik taraf infrastruktur bernilai RM240,000 bagi memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu tapak penting dalam Lenggong UNESCO Global Geopark.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang melawat tapak projek pada Jumaat lalu berkata, ia dibiayai melalui peruntukan Kementerian Pelancongan dan Kesenian (MOTAC).
“Kawasan ini telah dan sedang dibangunkan sebagai tapak penting pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark. Projek ini diharap memberi manfaat kepada ekonomi rakyat melalui aktiviti pelancongan,” katanya.
Beliau yang hadir bersama Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Hulu Perak dan pimpinan Kampung Tawai berkata, naik taraf infrastruktur di kawasan itu dijangka menarik lebih ramai pelancong dan menjana pendapatan masyarakat setempat.












