LENGGONG – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sedang melaksanakan projek pembangunan bernilai RM22 juta di kawasan Double Crown UNESCO Lenggong bagi meningkatkan kemudahan pelancongan di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata beliau menerima taklimat daripada pegawai NCIA mengenai perkembangan projek di Gua Kelawar semalam.
“Gua Kelawar adalah sebahagian daripada Kompleks Kepala Gajah yang terdiri daripada Gua Teluk Kelawar, Gua Kajang dan Gua Gunung Runtuh iaitu lokasi penemuan Perak Man,” katanya.
Menurutnya, gua tersebut merupakan tapak pra-sejarah penting yang mempamerkan bukti peninggalan zaman Paleolitik dan Neolitik.
Projek itu dijangka menambah kehadiran pengunjung ke kawasan dwi-pengiktirafan UNESCO Lenggong yang merangkumi Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 dan UNESCO Global Geopark yang diiktiraf April lalu.












