HULU PERAK – Air banjir mungkin sudah surut, tetapi kerja membersihkan lumpur di Kampung Padang masih jauh daripada selesai.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Cikgu Aida turun padang menyertai gotong-royong membersihkan kawasan yang terjejas, bersama agensi, petugas dan sukarelawan.
Banjir yang melanda beberapa kawasan di DUN Kenering baru-baru ini meninggalkan kesan kepada penduduk yang terlibat.
Menurut Cikgu Aida, biarpun penat dan berlumpur, semangat kerjasama serta sikap saling membantu tetap jadi keutamaan.
“Kehadiran semua amat bermakna buat penduduk yang sedang diuji,” katanya sambil berterima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus menghulurkan tenaga dan bantuan.
Beliau turut mendoakan agar keluarga yang terkesan terus tabah dan kehidupan mereka kembali seperti sediakala.
“Dalam keadaan susah, kita saling membantu. Dalam menghadapi ujian, kita tetap bersama,” katanya.












