HULU PERAK – Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak 2025 petang semalam bagi meraikan warga pendidik dan kakitangan yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang tahun lalu.
Saarani berkata pencapaian pendidikan anak-anak sekolah daerah itu secara keseluruhannya meningkat dalam banyak aspek, hasil usaha guru-guru yang bertungkus-lumus serta pegawai dan kakitangan yang bekerja keras di belakang tabir.
“Nak mendapatkan APC ni tak mudah. Ia datang dengan usaha, disiplin dan komitmen yang tak berbelah bahagi,” katanya.
Beliau berharap pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat bukan sahaja kepada organisasi, tetapi dalam memastikan pelajar di daerah berkenaan terus melakar kecemerlangan.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar (DUN Kenering) Cikgu Aida yang turut hadir berkata majlis tersebut adalah detik menghargai mereka yang mengharumkan nama Hulu Perak dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.












