KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa pelaksanaan tugas medan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang lazimnya dirujuk sebagai “kawad tambahan”, adalah bertujuan untuk mendidik, membentuk sahsiah serta meningkatkan tahap disiplin anggota pasukan.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut adalah berdasarkan Perenggan 32, Perintah Tetap Ketua Polis Negara (A110) Tatatertib, iaitu sebagai salah satu bentuk tindakan terhadap pelanggaran kesalahan ringan.
“Peruntukan ini membolehkan mana-mana pegawai polis berpangkat Sarjan dan ke atas, termasuk Korporal Tatatertib, mengarahkan pegawai rendah polis atau konstabel menjalani proses pembentukan dan perubahan sikap sebagai alternatif kepada tindakan tatatertib melalui pelaksanaan tugas atau latihan tambahan bagi tempoh tidak melebihi empat jam sehari dan tidak melebihi lima hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yang Berhormat Tan Sri Yang Berhormat Lubok Antu di Dewan Rakyat pada Isnin.
Shamsul Anuar menjelaskan bahawa dari segi prosedur pelaksanaan, Arahan Ketua Polis Negara No. 182 (SOP) Pelaksanaan Perenggan 32 (PTKP) NA110 Tatatertib bertarikh 30 Disember 2022 telah menggariskan tatacara pelaksanaan, tanggungjawab pegawai yang terlibat, serta mekanisme pemantauan dan penyeliaan bagi memastikan tindakan yang diambil mematuhi peruntukan yang ditetapkan.
Tambah beliau, aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan anggota turut diberi perhatian sewajarnya melalui penyeliaan berterusan sepanjang pelaksanaan tugas medan tambahan tersebut.
“Walau bagaimanapun, PDRM akan terus menambah baik tatacara pelaksanaan ini dari masa ke semasa, termasuk memperkukuhkan aspek keselamatan, pemantauan, dan kebajikan anggota,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa berikutan beberapa insiden yang berlaku, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah mengeluarkan Arahan Pentadbiran Bilangan 1/2026 bertarikh 29 Jun 2026 berhubung penggunaan Borang Pengesahan Tahap Kesihatan bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan Perenggan 32 Perintah Tetap Ketua Polis Negara (A110) Tatatertib.
