HULU PERAK – Murid-murid Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Sawa kini boleh belajar dalam suasana lebih selesa selepas menerima sumbangan kerusi, meja dan almari daripada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Sumbangan itu disampaikan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Cikgu Aida bagi pihak Saarani.
Cikgu Aida berkata sumbangan tersebut besar ertinya buat sekolah agama rakyat yang sering berdepan kekangan kemudahan asas, terutama di kawasan luar bandar.
“Bila melihat wajah anak-anak dan guru yang menerima sumbangan ini, terasa bahawa setiap usaha untuk membantu pendidikan adalah satu pelaburan untuk masa depan,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Saarani atas perhatian berterusan terhadap keperluan pendidikan dan berharap sumbangan itu dimanfaatkan sebaiknya demi melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak.
“Kita bantu hari ini, kita bina masa depan mereka.”
