LENGGONG – Lenggong kini dalam fasa akhir persiapan untuk menjadi tuan rumah Lenggong International Dialogue 2026 (LiD’26), yang dijadual berlangsung 24 hingga 29 November ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Induk LiD’26 diadakan hari ini bagi meneliti gerak kerja penganjuran program tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, mesyuarat itu membincangkan pelbagai perkara dan beberapa keputusan penting telah dicapai.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan keputusan yang dibuat.
LiD’26 diadakan ketika Lenggong sedang meraih perhatian antarabangsa. Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012, sebelum dinobatkan sebagai UNESCO Global Geopark pada April lalu.
Dengan dua pengiktirafan itu, Lenggong kini merupakan satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memegang dwi-pengiktirafan UNESCO.






