LENGGONG – Usaha menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka kini memasuki fasa seterusnya susulan Lawatan Akademi yang dianjurkan Majlis Pelancongan Lenggong dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark pada Mac 2026.
Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu menyasarkan Lenggong sebagai pilihan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk membuka pusat kajian serta melaksanakan pelbagai program berteraskan akademik.
“Kita mahu Lenggong menjadi pilihan kepada pelbagai IPTA dan IPTS untuk membuka Pusat Kajian dan pelbagai program berbentuk akademik dilaksanakan.
“Ini akhirnya menjadikan Lenggong terkenal melalui pelancongan pendidikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata perbincangan bersama Prof Mokhtar Saidin hari ini turut memberi tumpuan kepada penelitian dan pemurnian Kertas Cadangan Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka.
Menurutnya, sebuah lembaga Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka akan dibentuk, sebelum cadangan itu dibawa kepada Kerajaan Negeri Perak dan seterusnya ke kerajaan di peringkat Persekutuan bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.
