LENGGONG – Pembukaan semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dirasmikan petang ini, dengan penambahbaikan pameran termasuk teknologi hologram, paparan interaktif serta visual moden.
YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata Lenggong mempunyai sejarah perjalanan panjang berkaitan tamadun awal manusia, selain keindahan alam semula jadinya, dan menyimpan bukti kewujudan manusia sejak jutaan tahun dahulu.
Menurutnya, galeri yang menghimpunkan sejarah, ilmu dan penemuan penting mengenai tamadun awal manusia itu kini dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah difahami, bagi mendekatkan generasi hari ini kepada nilai warisan yang dimiliki.
Beliau berkata pembangunan berkenaan diyakini memberi manfaat kepada masyarakat setempat, termasuk membuka peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti pelancongan.
Pada majlis sama, Bank Negara Malaysia turut melancarkan Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia yang menampilkan Lenggong bersama lima lagi lokasi warisan negara.
Saarani berkata usaha itu diharap dapat terus memperkukuh kedudukan Lenggong sebagai destinasi warisan negara bertaraf dunia yang memberi nilai tambah kepada negeri dan rakyat.





















