LENGGONG – Lenggong bakal diiktiraf secara rasmi sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark (UGGp), kata Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Menurutnya, pengiktirafan itu diberikan oleh UNESCO melalui International Geoscience and Geoparks Programme (IGGP), sekali gus meletakkan Lenggong dalam senarai 12 UNESCO Global Geoparks baharu bagi tahun 2026.
Shamsul Anuar berkata Executive Board of UNESCO memaklumkan pengumuman rasmi akan dibuat pada 23 April 2026.
Susulan itu, katanya, majlis penyampaian sijil UNESCO Global Geoparks dijadual diadakan pada 27 April 2026 di ibu pejabat UNESCO di Paris.
Beliau berkata usaha mencapai pengiktirafan berkenaan digerakkan selepas Lenggong diwartakan sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021.
Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Badan Pengurusan Lenggong Geopark dengan sokongan Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), selain penglibatan jabatan, agensi dan komuniti tempatan di kawasan geopark.
“Saya amat berbangga kerana tercapai impian untuk melonjakkan jenama Lenggong ke taraf antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, Badan Pengurusan Lenggong Geopark, JMG, jabatan dan agensi berkaitan, serta komuniti setempat termasuk kampung-kampung yang terlibat.
Shamsul Anuar berkata pengiktirafan itu dijangka mengukuhkan usaha pemuliharaan alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan bernilai tinggi, selain membuktikan Lenggong memiliki khazanah bertaraf antarabangsa yang perlu dipelihara.
Mengimbas perkembangan sebelum ini, beliau berkata Lenggong diterima oleh UNESCO Global Geoparks Council pada 7 September 2025 ketika mesyuarat badan itu di Kultralkura UNESCO Global Geopark, Chile, bersempena Persidangan Antarabangsa berkaitan geopark global di Temuco, Araucanía.
Beliau mengucapkan tahniah kepada warga Lenggong dan menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai satu kejayaan besar, sambil mengangkat tema “Keindahan Yang Tersembunyi” sebagai gambaran keunikan kawasan itu.
