LENGGONG – Lenggong bakal menjadi tumpuan dunia apabila program Lenggong Dialog 2026 (LD’26) diadakan pada 24 hingga 29 November ini dengan jangkaan kehadiran lebih 50,000 orang.
Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata program enam hari itu akan menghimpunkan peserta dari sekurang-kurangnya lapan negara termasuk Russia, Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, Thailand dan beberapa negara Eropah.
Lebih 49 acara akan diadakan sepanjang LD’26 yang bertemakan “Warisan Dipelihara, Alam Dilestari, Generasi Dijana”.
“Kita jadikan LD’26 acara pelancongan terbesar di Lenggong,” katanya ketika melawat Laman Budaya yang menjadi antara lokasi utama program itu.
LD’26 dianjurkan Majlis Pelancongan Lenggong dan dilihat sebagai usaha terbesar setakat ini untuk memanfaatkan status dwi-pengiktirafan UNESCO yang dimiliki Lenggong, iaitu Tapak Warisan Dunia sejak 2012 dan UNESCO Global Geopark yang diperoleh pada April lalu, menjadikannya satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia dengan dua status antarabangsa.
