KUALA LUMPUR – Lenggong Dialogue 2026 (LD’26) mensasarkan kehadiran 50,000 pengunjung apabila ia berlangsung pada 23 hingga 29 November ini dengan lebih 49 acara di kawasan Double Crown UNESCO Lenggong.
Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata LD’26 bakal menjadi acara utama di kawasan dwi-pengiktirafan UNESCO itu yang merangkumi Tapak Warisan Dunia UNESCO dan UNESCO Global Geopark, satu-satunya di Semenanjung Malaysia.
Katanya, lebih 500 peserta antarabangsa dijangka menyertai empat acara utama iaitu Silang Budaya Antarabangsa Lembah Lenggong, Simposium Pemimpin Muda Malaysia-Indonesia, ASEAN Youth Leaders serta Kerjasama Kaldera Toba Medan Indonesia dan Lenggong UNESCO Global Geopark.
“Mesyuarat penyelarasan malam ini membincangkan khusus acara melibatkan peserta luar negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Kuala Lumpur, Selasa.
Lenggong menerima pengiktirafan UNESCO Global Geopark pada April lalu, menambah status Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diperoleh sejak 2012.
