LENGGONG – Kawasan Bukit Jawa di Kampung Gelok bakal menerima pembangunan baharu yang dijangka mengubah imej tapak pra-sejarah penting itu sebagai destinasi arkeologi bertaraf dunia.
Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata beliau menerima taklimat terperinci mengenai perkembangan projek Kompleks Bukit Jawa Gelok semalam.
“Kawasan ini mempamerkan bukti penemuan awal kesan pembuatan alat-alat batu. Pelbagai penemuan membuktikan Lenggong memiliki nilai sejarah tamadun manusia yang sangat tinggi,” katanya.
Menurutnya, Bukit Jawa merupakan salah satu kawasan penting kepada dunia arkeologi yang terletak dalam kawasan Double Crown UNESCO Lenggong.
Lenggong kekal satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia dengan dwi-pengiktirafan UNESCO iaitu Tapak Warisan Dunia sejak 2012 dan Global Geopark sejak April lalu.






