LENGGONG – Dewan Orang Ramai Kampung Ganda hari ini meriah dengan kehadiran ibu bapa dan komuniti setempat yang menyertai Program Kemahiran Keibubapaan anjuran KEMAS Parlimen Lenggong 2026.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Cikgu Aida yang merasmikan program tersebut berkata keibubapaan adalah amanah besar yang memerlukan ilmu dan bimbingan berterusan.
“Anak-anak memerlukan kasih sayang, perhatian, bimbingan dan contoh yang baik daripada ibu bapa dalam membesar sebagai insan yang berkualiti,” katanya.
Beliau menyifatkan program itu bukan sekadar mengisi masa, sebaliknya menjadi ruang untuk ibu bapa berkongsi ilmu dan pengalaman dalam membentuk keluarga yang lebih harmoni.
Cikgu Aida turut memuji pihak KEMAS Parlimen Lenggong yang konsisten menganjurkan program sebegini bagi memperkasa institusi keluarga di peringkat akar umbi.
“Semoga ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan dan dibawa pulang untuk diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.












