LENGGONG – Sebanyak 31 kawah dodol dimasak secara gotong-royong di Arena Amanjaya Lawin, Lembah Lenggong semalam dalam satu program anjuran bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pusat Khidmat MP Lenggong, Majlis Pelancongan Lenggong serta pelbagai jabatan, agensi, organisasi dan komuniti kampung.
Program Kacau Dodol Lembah Lenggong itu diadakan sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni KDN bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
Antara pihak yang terlibat termasuk JPN, Imigresen Ipoh, Pejabat Daerah dan Tanah, JPN Hulu Perak/Lenggong, IPD Gerik, RELA Gerik, RELA Lenggong, Balai Bomba Gerik, Majlis Daerah Gerik, KEMAS, AADK, KRT Hulu Perak, Klinik Kesihatan, Majlis Belia Gerik, Majlis Belia Lenggong, UMNO Bahagian Lenggong, Wanita UMNO Bahagian Lenggong, Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Puteri UMNO Bahagian Lenggong, Felda Papulut/Lawin Tengah, Felda Lawin Utara 1/2, Felda Lawin Selatan 1, Felda Lawin Selatan 2, Kampung Lawin, Kampung Malau dan Kampung Belum.
Menurut penganjur, program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi kacau dodol, malah menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan belia dan penduduk kampung. Selain itu, ia turut memupuk nilai gotong-royong dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sambutan yang diterima menunjukkan aktiviti berasaskan tradisi dan gotong-royong masih relevan serta mampu mengeratkan hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan. Program seumpama ini dijangka akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warisan budaya dan nilai murni terus dipelihara.
























