LENGGONG – Sekolah Kebangsaan Lubok Kawah kini mempunyai kemudahan Dewan Terbuka baharu selepas majlis penyerahan pembinaannya disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan ICU Negeri Perak, Dato’ Hj Mohd Zakuan bin Hj Zakaria pada 7 Julai lalu.
Muhammad Solihin bin Abdul Majid, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Lenggong yang hadir mewakili Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kemudahan tersebut bakal menyokong pelaksanaan aktiviti pembelajaran, kokurikulum dan program kemasyarakatan di sekolah berkenaan.
“Semoga kemudahan Dewan Terbuka ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh warga sekolah,” katanya.
Majlis turut dihadiri YDP PIBG SK Lubok Kawah, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Perak, Guru Besar serta pegawai-pegawai ICU Negeri Perak.
Pembinaan dewan terbuka itu merupakan sebahagian daripada usaha menaik taraf infrastruktur pendidikan di kawasan Parlimen Lenggong.



