LENGGONG – Penduduk Kampung Sumpitan berkumpul seawal pagi Ahad bagi menyertai Fun Walk Merdeka anjuran Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sumpitan sempena Hari Kebangsaan 2026.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Cikgu Aida hadir merasmikan flag off program yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh semangat kebersamaan itu.
Peserta menyusuri kawasan kampung sambil bertegur sapa dan menikmati kehijauan persekitaran, menjadikan program tersebut bukan sekadar aktiviti berjalan kaki tetapi ruang mengeratkan silaturrahim serta menyemarakkan semangat patriotisme.
Cikgu Aida menzahirkan harapan agar semangat Merdeka terus diterjemahkan melalui amalan hidup sihat dan semangat kejiranan yang erat dalam kalangan penduduk.









