LENGGONG – Dewan Merdeka Lenggong menjadi lokasi rasmi perasmian Bengkel ePIBG serta pelancaran rasmi ePIBG Sekolah Digital bagi Parlimen Lenggong hari ini oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong menganjurkan program selama setengah hari yang melibatkan wakil dari semua sekolah dalam Parlimen Lenggong untuk memulakan penggunaan platform digital tersebut sebaik sahaja bengkel selesai.
ePIBG ialah satu platform digital yang direka untuk memudahkan pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secara dalam talian. Platform ini diperkenalkan melalui inisiatif Yayasan Didik Negara (YDN), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.
Tujuan bengkel ini adalah untuk memperkenalkan ePIBG kepada pentadbir sekolah dan ahli jawatankuasa PIBG serta membimbing mereka dalam proses pendaftaran akaun dan penyediaan profil sekolah masing-masing.
Sebagai sebahagian daripada bengkel, peserta menjalani latihan praktikal dalam menggunakan modul utama platform ePIBG dan turut merancang pelan pelaksanaan selama 30 hari bagi tujuan pendaftaran ibu bapa di sekolah masing-masing.
Program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari ini dihadiri oleh pengetua, guru besar, penolong kanan, Yang Dipertua PIBG, setiausaha, bendahari serta guru yang menjadi penyelaras ePIBG di sekolah masing-masing.




























