MELAKA – Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia (Alumni MBM), YB Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, mengetuai kunjungan hormat Alumni MBM kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam, bertempat di Istana Melaka.
Kunjungan hormat tersebut berlangsung pada 16 April 2026, jam 3.00 petang, sebagai tanda penghormatan kepada institusi kepimpinan negeri, di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara Alumni MBM dan pihak istana.
Pertemuan berkenaan turut menjadi platform untuk mempererat hubungan strategik serta mengukuhkan jaringan kerjasama, selaras dengan aspirasi Alumni MBM dalam menyokong agenda pembangunan belia secara berterusan menerusi pendekatan yang inklusif dan berimpak.
Alumni MBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Tun Mohd Ali menerima kunjungan hormat tersebut, dan menzahirkan harapan agar hubungan baik yang terjalin dapat terus diperkasakan bagi memperkukuh peranan belia dalam pembangunan negeri serta negara.









