LENGGONG – Pegawai khas kepada Menteri Besar Perak, Rohaida Mohamad Yaakub, hari ini menyantuni nelayan darat di Mukim Gerik, DUN Kenering menerusi agihan kotak makanan di Jeti Pulau Belayar dan Jeti Kuala Kendrong.
Menurut Rohaida, agihan itu bertujuan membantu meringankan beban serta keperluan harian komuniti nelayan darat.
“Sedikit sumbangan ini diharap dapat meringankan beban dan membantu keperluan harian mereka,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dalam suasana santai beliau sempat bertanya khabar dan mendengar sendiri perkongsian nelayan mengenai keadaan serta keperluan mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan. Pegawai Perikanan Daerah Hulu Perak turut hadir.
“Semoga usaha kecil ini membawa manfaat dan terus mengeratkan hubungan dengan masyarakat,” katanya lagi.












